Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
Rasa macam dah lama tak makan siput sedut ini. Apa kata hari ini kita buat siput sedut masak lemak cili api, nak? Sebelum ini Min pernah masak siput sedut, tapi apabila disedut, siputnya tak keluar! Kemudian, Min pun cari di Google, baru Min jumpa kesalahan Min dalam menyiang siput sedut itu.
Sekarang Min dah mahir dalam menyiang siput sedut ya. Jom tengok resipi siput sedut yang Min nak kongsi ini. Bahan yang diperlukan pun mudah saja.
Bahan-bahan
Berikut merupakan bahan-bahan untuk membuat siput sedut masak lemak cili api. Sebut saja mengenai siput sedut mesti terliur. Tak sabar nak makan!
- 1 kg siput sedut (disiang dan dicuci bersih)
- 1 inci kunyit hidup (dikisar)
- 15 batang cili api (dikisar)
- 5 biji bawang merah ros (dikisar)
- 250 ml santan cair
- 100 ml santan pekat
- 2 batang serai (diketuk)
- 1 daun kunyit (hiris halus)
- Sedikit garam
- 2 keping asam gelugur
- Sedikit minyak (untuk menumis)
Cara Siang Siput Sedut | Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
Sebelum mula memasak siput sedut, ianya perlulah dibersihkan. Terutama jika siput sedut yang dibeli itu masih hidup. Siput sedut yang hidup penuh dengan lumpur dan lendir. Jadi, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan siput sedut bersih dan boleh dimasak. Min dapatkan cara membersihkan ini daripada MyResipi.
Rendam
Siput sedut yang baru dibeli perlulah dibasuh terlebih dahulu dan direndamkan di dalam air bersih. Rendam siput sedut selama 7 hingga 8 jam atau sebaiknya semalaman. Hal ini bertujuan supaya lendir dan lumpur dari siput sedut itu keluar.
Siang
Selepas siput sedut direndamkan, bersihkan sekali lagi bagi mengasingkan lendir dan lumpur. Kemudian, siang siput sedut dengan memotong hujung cangkerangnya. Potong pada ruas kedua atau ketiga pada cangkerang siput sedut. Jika tidak potong pada ruas tersebut, susah nk sedut siput itu nanti. Potong dengan menggunakan cutter lebih mudah.
Cuci
Setelah menyiang semua siput sedut, cuci sehingga bersih. Boleh gunakan limau atau daun limau purut untuk hilangkan lendir atau bau yang kurang menyenangkan pada siput sedut. Seeloknya cuci lebih dari 5 kali bagi memastikan siput sedut betul-betul bersih.
Cara Memasak Siput Sedut Masak Lemak Cili Api
- Mula-mula, panaskan minyak di dalam kuali. Kemudian, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar ke dalam kuali. Tumiskan bahan tadi bersama serai yang telah diketuk sehingga garing dan naik bau.
- Seterusnya, masukkan santan cair. Kacau sentiasa supaya santan tidak pecah.
- Kemudian, masukkan siput sedut sehingga mendidih dan masak.
- Seterusnya, masukkan santan pekat dan asam gelugur. Kacau masakan dengan menggunakan api yang perlahan. Biarkan ia mendidih.
- Masukkan sedikit garam dan taburkan hirisan daun kunyit. Tutup api dan siap dihidangkan.
Siap juga siput sedut masak lemak cili api ini. Mudah sahaja kan nak masak? Min harapkan agar artikel ini dapat membantu anda untuk memasak dengan lebih mudah. Selamat mencuba!
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Nak makan apa? Makan lokal-lah!