Resipi Sup Rasam untuk Merawat Demam
Rasam merupakan sejenis sup yang kaya dengan aroma rempah ratus seperti halba dan jintan manis. Sup rasam ini merupakan makanan dari India Selatan dan kebiasaannya dimakan apabila seseorang tidak sihat kerana demam. Mari Cik Min kongsikan resipi sup rasam yang dipercayai boleh merawat demam ini.
Sekiranya anda mengalami selesema dan batuk, sesuai juga untuk makan sup rasam ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, rempah ratus yang terdapat dalam sup ini mampu menghangatkan dan menyegarkan badan. Resipi sup rasam ini, Cik Min dapatkan daripada Puan Suhaili Ikhsan menerusi laman Facebooknya. Bahan nak buat rasam ini mudah didapati, dan bahan utama yang perlu ada ialah jintan manis serta halba.
Bahan-bahan
- 1 sudu kecil jintan manis (dikisar)
- 1 ½ sudu lada hitam (dikisar)
- Seruas jari kunyit hidup (dikisar)
- 6 ulas bawang putih bersama kulit (ditumbuk kasar)
- 2 ulas bawang merah (dihiris)
- 1 sudu kecil halba
- 1 sudu kecil biji sawi
- 4 biji cili kering (potong sepanjang seruas jari)
- 2 biji tomato (potong 4 atau 6)
- 2 tangkai daun kari
- Secawan air asam jawa
- Garam secukup rasa
Cara Memasak | Resipi Sup Rasam
Cara memasaknya agak sukar kerana banyak step yang perlu dilakukan. Antaranya adalah seperti berikut:
- Mula-mula, tapis bahan yang telah dikisar dan ambil airnya sahaja.
- Seterusnya, tumis bawang merah, daun kari, biji sawi, dan halba sehingga naik bau. Kemudian, masukkan bawang putih yang telah ditumbuk bersama kulit ke dalam tumisan. Tumis bawang putih sehingga bertukar kekuningan.
- Masukkan cili kering dan tomato yang telah dipotong.
- Kemudian, masukkan air tapisan daripada bahan kisar tadi ke dalam masakan.
- Masukkan air perahan asam jawa ke dalam masakan. Biarkan sup mereneh dan pekat dengan menggunakan api yang perlahan.
- Tutup api dan masukkan garam secukup rasa. Kacau sebati dan siap dihidangkan.
Bagi Cik Min, mungkin cara memasak rasam ini agak sukar kerana ada step yang memerlukan bahan dikisar, ada yang memerlukan bahan yang ditumbuk, dan ditumis. Walau bagaimanapun, selepas memasak, pasti anda akan merasa lega kerana dapat menikmati sup yang sedap dan menyegarkan ini.
Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Cik Min harapkan agar artikel mengenai resipi sup rasam ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Nak makan apa? Makan lokal-lah!