Resepi Sotong Masala
Sotong Masala merupakan sebuah resepi yang dikongsi oleh Sau’dah Salleh di laman Facebooknya baru-baru ini. Ia diinspirasi berdasarkan harga sotong yang kian menaik di kedai-kedai makan.
Ada juga kisah restoran yang mengenakan caj RM100 untuk dua ekor sotong sehingga pembeli berasa tertipu dan tidak berpuas hati. Jadi kata Puan Sau’dah, lebih baik sotong tersebut dibeli dan dimasak sendiri dengan kualiti restoran gituww…
Apakah itu Masala?
Masala bererti rempah-ratus yang digunakan di dalam masakan kaum India. India terkenal dengan rempah-ratus yang digunakan di dalam hampir setiap hidangan, supaya ia bertambah lebih sedap dan berempah.
Hidangan sotong Masala ini juga lebih kurang seperti masakan kari, kerana ia turut menggunakan rempah dan juga daun kari. Apa yang membezakannya ialah, rasanya lebih berempah dan tidak berkuah. Menarik kan?
Bahan-bahan yang Diperlukan untuk Resepi Sotong Masala
Sebelum memulakan masakan, bahan-bahannya perlulah disediakan terlebih dahulu. Tidaklah nanti baru nak tercari-cari barang dan tertinggal bahan-bahan utama yang diperlukan, tak gitu?
Walau bagaimanapun anda jangan risau, sebab mudah aje bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ini. Jom kita lihat satu persatu.
• 300 gram sotong (dibersihkan dan dipotong terlebih dahulu)
• 25 gram bawang merah
• 3 ulas bawang putih
• 10 gram halia
• 25 gram minyak
• 1 tangkai daun kari
• 10 gram sebuk cili
• 1 tsp serbuk kunyit
• 10 gram serbuk kari ikan
• 10 gram sos tiram
• 20 gram sos tomato
• 1/2 tsp garam
• 1 batang cili merah (dihiris)
• 1 batang cili hijau (dihiris)
Haa, semuanya bahan-bahan yang biasa kita guna kan? Walaupun nampak macam banyak, tp tetap tersedia di rumah. Jom kita lihat pula cara memasak sotong masala ini!
Cara Memasak Sotong Masala
Mesti ada yang beranggapan bahawa memasak sotong ini renyah, kerana tekstur sotong itu sendiri adalah berair, kan? Tapi Cik Min boleh jamin bahawa resepi sotong masala ini memang lain daripada yang lain.
⒈ Goreng dahulu sotong untuk untuk matikan airnya. Jadi, apabila ia dicampur dengan rempah yang kering, ia tidak akan menjejaskan rasa dan juga tekstur sotong tersebut.
⒉ Kemudian, mulakan dengan mengisar bawang putih , bawang merah dan halia tanpa air.
⒊ Panaskan minyak dan masukkan daun kari serta bahan kisaran kering sebentar tadi. Tumis sehingga garing.
⒋ Masukkan rempah kari ikan, serbuk cili, serbuk kunyit, sos tiram, sos tomato dan juga garam. Perasakan secukupnya.
⒌ Selepas itu, masukkan sotong yang telah digoreng tadi, dan masukkan sekali cili merah serta cili hijau yang telah dihiris. Tunggu sehingga menggelegak, dan siappp!
Memang mudah dan cepat aje nak buat resepi sotong masala ini. Boleh lah feeling macam makan dekat restoran, hehe.
Dah, tak payah fikir panjang! Jom cuba resepi sotong masala ini dan kongsikan bersama Cik Min bagaimana hasilnya di ruangan komen di bawah ya. Selamat mencuba!
Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min tentang “Resepi Sotong Masala” pada kali ini. Untuk lebih banyak artikel menarik, anda boleh melayari laman Makan Lokal.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Nak makan apa? Makan lokal-lah!