Kuih Raya Mudah Dibuat

April 8, 2024 by No Comments

Raya lagi beberapa hari, mesti anda dah mula tercari-cari kan kuih raya mudah dibuat untuk pagi 1 Syawal nanti? Dah jumpa resipi yang senang dan tak perlu cuci pinggan banyak? Jangan risau, kali ini Cik Min akan kongsikan dengan para pembaca beberapa kuih raya mudah dibuat dengan cara memasak untuk raya tahun ini!

1. Kuih Semperit

Kuih Semperit ini akan selalu ada dimana-mana rumah yang kita ziarahi dan menjadi kesukaan ramai masyarakat negara kita. Resepi Kuih Semperit tidaklah susah, dibawah Cik Min sekalikan resepi dan cara buatannya. 

Bahan-Bahan:

  • 185gm gula
  • 375gm mentega
  • 60gm tepung kastad | diayak
  • 60gm tepung jagung | diayak
  • 375gm tepung gandum | diayak
  • 1 sudu makan esen vanilla
  • 1 biji kuning telur
  • Ceri merah secukupnya | dipotong kecil

Cara Memasak:

  1. Pukul mentega bersama gula hingga sebati.
  2. Kemudian masukkan kuning telur bersama esen vanilla. Teruskan memukul sehingga kembang.
  3. Masukkan kesemua tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
  4. Masukkan doh ke dalam acuan semperit dan terapkan diatas loyang pembakar yang telah disapu sedikit mentega. Hiaskan dengan ceri merah.
  5. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150°C selama 10 minit.
  6. Biarkan biskut sejuk seketika dan sedia untuk dinikmati.

2. Almond London

Kuih Almond London ini nampak gah kan namanya? Namun sebenarnya ia sangat mudah untuk dibuat jika sudah terbiasa dengan caranya. Jom cuba kuih ini buat mereka yang suka akan kuih bercoklat dan mempunyai kekacang!

Bahan-Bahan:

  • 250gm mentega | dibiarkan pada suhu bilik
  • 450gm tepung gandum
  • 2 sudu teh emplex
  • 220gm gula ising
  • 2 biji kuning telur
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 150gm badam | dibakar seketika di dalam ketuhar
  • 450gm coklat masakan
  • 1/2 sudu makan lemak sayuran
  • 3 sudu makan badam cincang | dibakar seketika
  • Cawan kertas secukupnya

Cara Memasak:

  1. Ayak tepung gandum bersama emplex. Ketepikan seketika.
  2. Pukul mentega bersama gula icing sehingga sebati dan masukkan kuning telur bersama esen vanilla. Pukul lagi sehingga kembang.
  3. Masukkan tepung yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit. Kacau sebati.
  4. Ambil sedikit doh dan salutkan nipis pada sebiji badam. Ulang langkah sehingga habis adunan.
  5. Panaskan ketuhar pada suhu 170°C dan bakar biskut selama 20-25 minit.
  6. Untuk menyalut, panaskan coklat menggunakan teknik double boiler. Kemudian masukkan lemak sayuran, Kacau hingga sebati.
  7. Ambil biskut yang telah disejukkan tadi dan celupkan ke dalam coklat masakan. Kemudian masukkan ke dalam cawan kertas.
  8. Sudukan sedikit coklat ke dalam cawan kertas tadi dan taburkan badam cincang dengan secukupnya. Biarkan coklat mengeras dan bolehlah dinikmati.

3. Batang Buruk

Lagi satu kuih raya mudah dibuat yang Cik Min nak kongsikan adalah kuih Batang Buruk. Bagi mereka yang suka makan kuih raya, pasti akan tahu kelazatan kuih ini. 

Bahan-Bahan: 

  • 300gm tepung gandum
  • 150gm tepung beras
  • 1/2 biji santan kelapa
  • 100gm tepung kacang hijau
  • 120gm gula icing
  • 2 biji telur
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan santan sehingga mendidih. Tutup api dan sejukkan seketika.
  2. Campurkan tepung kacang hijau bersama gula icing. Ketepikan.
  3. Gaulkan tepung gandum dan tepung beras bersama santan yang telah dimasak. Masukkan telur dan uli hingga menjadi adunan yang sebati.
  4. Canai nipis adunan tadi dan potong mengikut saiz 2cm x 3cm. Gulung dan biarkan bahagian tengahnya berlubang.
  5. Potong kecil adunan yang digulung tadi dan goreng sehingga garing.
  6. Angkat dan toskan minyak. Isikan bahagian tengah tadi dengan campuran tepung kacang hijau dan gula icing. Ulang sehingga adunan habis.
  7. Sedia untuk dinikmati.

Untuk mengetahui lebih banyak resepi kuih raya mudah dibuat, klik sahaja link ini untuk ya! Resepi dan cara buatan yang dikongsikan adalah senang didapati di mana-mana kedai runcit berdekatan. 

Kuih raya mudah dibuat ini sesuai untuk mereka yang tinggal berseorangan dan ingin mempelajara cara memasak kuih-muih untuk diberikan ke sanak-saudara apabila pulang ke kampung nanti. Jangan lupa untuk mengambil gambar apabila kuih anda siap dimasak!

Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min pada kali ini tentang, “Kuih Raya Mudah Dibuat“. Jumpa lagi di postingan seterusnya ya! Untuk lebih banyak artikel yang menarik, anda boleh layari portal Makan Lokal.


Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Nak makan apa? Makan lokal-lah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *