Ikan Bilis Goreng Kantan | Pembuka Selera

March 24, 2022 by No Comments

Anda pernah tak mengalami masalah kurang selera makan? Cik Min percaya, pasti ada dalam kalangan anda yang sedang mengalami masalah ini. Oleh itu, Cik Min nak kongsikan satu menu masakan kampung yang boleh dijadikan sebagai pembuka selera. Menu ini dikenali sebagai ikan bilis goreng kantan.

Kenapa bunga kantan dipilih dalam masakan ini? Bagi Cik Min, bunga kantan mengeluarkan aroma yang kuat dan mempunyai rasa masam-masam kelat di mana boleh menaikkan selera seseorang. Oleh hal yang demikian, masakan ini disebut sebagai pembuka selera.

Bahan-bahan

  • Segenggam ikan bilis besar (ditumbuk)
  • 3 batang bunga kantan (hiris halus)
  • 3 ulas bawang merah ros (hiris halus)
  • 2 ulas bawang putih (hiris halus)
  • 5 biji cili hijau (hiris)
  • 2 keping asam gelugur
  • Sedikit minyak
  • Sedikit garam

Cara Memasak Ikan Bilis Goreng Kantan

  1. Mula-mula, bersihkan ikan bilis terlebih dahulu. Kemudian, tumbuk ikan bilis tersebut sehingga hancur.
  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk hancur bersama bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris halus. Tumis sehingga garing dan naik bau.
  3. Kemudian, masukkan bunga kantan dan cili hijau yang telah dihiris halus ke dalam tumisan. Tumis sehingga bunga kantan naik bau dan agak layu.
  4. Seterusnya, masukkan asam keping dan sedikit garam. Kacau sebati.
  5. Tutupkan api dan siap dihidangkan!
Ikan Bilis Goreng Kantan
Sumber: Artyazkee

Tips Tambahan Menu Ikan Bilis Goreng Kantan

  • Sekiranya anda ingin menggunakan ikan bilis kecil, pastikan anda goreng sehingga rangup terlebih dahulu.
  • Boleh masukkan belacan bagi menambahkan rasa dan bau. Pastikan anda menumis belacan bersama ikan bilis yang telah ditumbuk.
  • Sekiranya anda gemar masakan pedas, boleh gantikan cili hijau dengan cili padi.

Mudah sahaja nak memasak makanan pembuka selera ini kan? Menu ini amat sesuai dimakan bersama nasi panas atau bubur kosong. Sekiranya anda makan dengan bubur kosong, gandingkan juga dengan telur masin. Sungguh menyelerakan! Anda boleh baca di sini untuk dapatkan resipi telur masin yang mudah.

Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Cik Min harapkan agar artikel mengenai resipi ikan bilis goreng kantan ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Nak makan apa? Makan lokal-lah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *