Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

January 11, 2022 by No Comments

Nasi ambeng merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa di mana nasi dan lauk akan dibungkus dengan daun pisang. Nasi ambeng biasanya akan dihidangkan bersama serunding kelapa, sambal goreng, ayam masak kicap atau ayam ungkep, ikan masin, dan mi goreng merico (lada hitam). Nampak macam susah je kan cara buat nasi ambeng Jawa? Mari teruskan membaca untuk tahu lebih lanjut mengenai cara buat nasi ambeng Jawa.

Nasi ambeng ini biasanya dikenali juga sebagai berkat yang dapat daripada majlis kenduri kahwin. Kebiasaannya, masyarakat Jawa akan merewang untuk memasak nasi ambeng untuk diberikan kepada tetamu untuk dibawa pulang. Agak-agaknya, zaman sekarang masih amalkan lagi tak adat begini?

Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

Bahan-bahan

Cara nak buat nasi ambeng Jawa ini agak rumit dan sukar bagi mereka yang belum pernah memasaknya. Namun, Min akan berikan cara mudah untuk anda ikuti supaya nasi ambeng berjaya dimasak. Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

Bahan Nasi

  • 5 pot beras putih (dibasuh dan ditoskan)
  • 1 helai daun pandan (ikat simpul)
  • Daun pisang (sebagai alas untuk hidangan)

Bahan Ayam Masak Kicap

  • Ayam (potong 4)
  • Sedikit kunyit
  • Sedikit Garam
  • Minyak masak (untuk digoreng dan tumis)
  • 2 inci halia (dikisar)
  • 6 atau lebih biji bawang merah besar (dikisar)
  • 2 labu bawang putih (dikisar)
  • 5 sudu besar makan cili giling
  • Kicap
  • 3 beradik (buah pelaga, bunga lawang, dan kulit kayu manis)
  • Lada hitam
  • Sedikit air
  • 2 biji bawang merah besar (hiris bulat)
  • 3 biji cili merah atau hijau besar (potong tengah dan buang biji)

Bahan Mi Goreng Merico | Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

Resipi ini Min dapatkan daripada Keluarga.

  • 1 bungkus mi kuning (bersihkan)
  • 3 biji bawang merah besar (hiris halus)
  • 5 ulas bawang putih (hiris halus)
  • 7 biji cili merah besar (hiris serong)
  • 5 sudu makan lada hitam (kisar halus)
  • Segenggam udang kering (bersihkan)
  • Kicap
  • Sedikit garam

Bahan Serunding Kelapa

  • 3 biji bawang merah besar (dikisar)
  • 5 ulas bawang putih (dikisar)
  • 2 sudu makan biji ketumbar (dikisar)
  • 3 sudu teh jintan manis (dikisar)
  • 3 suduh teh jintan putih (dikisar)
  • 5 batang serai (dikisar)
  • 5 sudu makan cili giling
  • 2 inci kunyit hidup (dikisar)
  • 3 biji kelapa parut
  • Segenggam ikan bilis (dikisar)
  • 5 sudu besar air asam jawa
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam

Bahan Sambal Goreng | Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

  • 5 keping tempe (potong dadu)
  • 3 keping tauhu (potong dadu)
  • 7 biji kentang (potong dadu)
  • Sedikit pedal dan hati ayam
  • 1 bungkus fucuk (rendam)
  • 1 bungkus suhun (rendam)
  • Segenggam udang putih
  • Segenggam udang kering
  • 10 biji cili kering (dibersihkan dan digunting halus)
  • 7 biji bawang merah (dikisar)
  • 5 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci lengkuas (dikisar)
  • 1 batang serai (dikisar)
  • Sedikit kacang panjang (dihiris serong)
  • Kicap
  • Sedikit garam
  • Minyak masak (untuk goreng dan tumis)

Bahan Ikan Masin | Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

  • Ikan masin bulu ayam (bersihkan dan basuh)
  • Minyak masak (untuk digoreng)

Cara Memasak

Agak banyak bahan yang diperlukan untuk membuat nasi ambeng. Ini bermakna, banyak yang perlu dimasak. Jadi, berikut merupakan cara memasak nasi ambeng step-by-step:

Cara Memasak Nasi

  1. Mula-mula, masukkan nasi dalam periuk dan isikan air untuk dimasak. Letakkan daun pandan yang telah disimpul.
  2. Biarkan nasi masak.
  3. Letakkan nasi ke atas daun pisang.

Ayam Masak Kicap | Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

  1. Goreng ayam yang telah dilumurkan dengan kunyit dan garam. Goreng setengah masak. Tidak perlu goreng sehingga kering.
  2. Tumiskan bahan yang telah dikisar sehingga pecah minyak. Kemudian, masukkan 3 beradik (buah pelaga, bunga lawang, dan kulit kayu manis) sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili giling dan lada hitam. Kemudian, masukkan kicap secukupnya. Masak di atas api sederhana. Tambahkan sedikit air.
  4. Kemudian, masukkan ayam yang telah siap digoreng. Gaulkan ayam tersebut. Biarkan ayam tersebut masak sepenuhnya.
  5. Masukkan bawang dan cili yang telah dipotong. Siap dihidangkan!
Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

Cara Memasak Mi Goreng Merico

  1. Mula-mula, tumis bahan yang telah dihiris (bawang merah, bawang putih, cili merah, dan udang kering) sehingga naik bau.
  2. Masukkan kicap dan lada hitam. Biarkan bahan ini masak.
  3. Kemudian, masukkan mi kuning dan sedikit garam. Gaul sebati sehingga masak.
  4. Siap dihidangkan!

Cara Memasak Serunding | Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

  1. Tumiskan bahan yang dikisar (bawang merah, bawang putih, serai, kunyit, jintan putih, jintan manis, dan biji ketumbar) sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan cili giling. Tumis sehingga sedikit kering dan masak.
  3. Masukkan garam, gula, dan air asam jawa. Selepas itu, masukkan kelapa parut dan gaul sehingga sebati.
  4. Sentiasa gaul kelapa bersama rempah tadi sehingga sedikit kering. Siap dihidangkan!

Cara Memasak Sambal Goreng

  1. Mula-mula, gorengkan terlebih dahulu tempe, kentang, tauhu, pedal dan hati ayam.
  2. Tumis bahan yang telah dikisar sehingga pecah minyak. Masukkan udang putih dan udang kering. Tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan kicap dan sedikit garam. Selepas itu, masukkan bahan yang telah digoreng tadi. Masukkan sayur kacang panjang, fucuk, suhun, dan cili kering.
  4. Boleh tambahkan sedikit air jika sambal goreng terlalu kering. Kacau sebati.
  5. Siap dihidangkan!

Cara Memasak Ikan Masin

  1. Mula-mula, panaskan minyak masak. Masukkan ikan masin bulu ayam dan goreng sehingga garing.
  2. Angkat dan toskan. Siap dihidangkan bersama nasi dan lauk.
Cara Buat Nasi Ambeng Jawa

Mudah sahaja kan cara buat nasi ambeng Jawa yang Min kongsikan ini? Cuma, bagi Min, sambal goreng antara lauk yang paling susah nak masak. Arwah nenek Min pernah beritahu yang sambal goreng yang betul-betul asli ini tidak menggunakan minyak. Tetapi, menggunakan santan untuk dijadikan sebagai minyak. Bawang yang digunakan juga perlu banyak untuk menaikkan rasa sambal goreng.

Tapi, jika anda nak makan nasi ambeng ini bersama ahli keluarga, boleh gunakan resipi mudah yang Min berikan ini. Min harapkan agar resipi yang Min berikan ini dapat membantu anda untuk memasak nasi ambeng yang sedap. Manalah tahu boleh buat jualan pula, kan?

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Nak makan apa? Makan lokal-lah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *