Sos Pencicah Daging Korban | Boleh Cuba
Musim korban bukan saja meriah dengan ibadah, tapi juga hidangan enak yang menyatukan keluarga. Bila daging korban dah siap dimasak, mesti ramai tercari-cari pelengkap rasa. Dalam artikel ini, kita kongsikan idea menarik Sos Pencicah Daging Korban yang mudah dan sedap. Jom cipta pengalaman makan yang lebih padu tahun ini!

Setiap kali tiba musim Aidiladha, suasana kampung mula meriah dengan aktiviti penyembelihan dan agihan daging korban. Waktu inilah daging segar jadi bahan utama dalam pelbagai jenis masakan dari sup tulang hingga ke daging bakar.
Tapi, ada satu benda yang kadang-kadang orang terlepas pandang adalah sos pencicah! Padahal, sos pencicah daging korban ni la yang boleh buat hidangan tu jadi luar biasa sedap. Bila dicicah daging panas-panas dengan sos yang pedas, masam dan cukup rasa, barulah ‘kick’ dia sampai ke hati.
Resepi Sos Pencicah Daging Korban Ala Thai | Mula Memasak

Bahan-bahan yang diperlukan:
7–8 ulas bawang putih
10–20 tangkai cili merah & hijau (ikut tahap pedas yang digemari)
2 tangkai ketumbar (akar & daun digunakan)
Air perahan limau nipis
2 sudu sos ikan
Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa
Tambah sedikit air suam jika sos terlalu pekat
Cara penyediaan
1. Sediakan bahan-bahan segar.
Kupas bawang putih dan buang tangkai cili. Jika suka pedas, boleh kekalkan biji cili, tetapi jika mahukan rasa yang lebih seimbang, buang sedikit biji cili merah dan hijau. Bersihkan akar ketumbar dan daun ketumbar dengan air bersih.
2. Kisar atau tumbuk bahan utama.
Masukkan bawang putih, cili merah dan hijau, serta akar ketumbar ke dalam lesung batu atau pengisar. Tumbuk secara perlahan-lahan hingga lumat, atau kisar sehingga halus jika mahu lebih cepat. Jika menggunakan pengisar, tambahkan sedikit air suam supaya mudah dikisar.
3. Masukkan bahan perasa.
Setelah bahan-bahan dikisar halus, pindahkan ke dalam mangkuk. Masukkan 2 sudu besar sos ikan dan gaul rata. Sos ikan ini memberikan rasa masin dan aroma Thai yang autentik. Perah air limau nipis secukupnya untuk beri rasa masam yang menyegarkan.
4. Perisakan mengikut cita rasa.
Tambahkan secubit garam, gula dan sedikit serbuk perasa (jika suka). Rasa dahulu, kemudian seimbangkan rasa masin, masam dan manis ikut selera masing-masing. Jika sos terlalu pekat, tambahkan sedikit air suam dan kacau hingga sebati.
5. Hidang dengan daun ketumbar.
Akhir sekali, taburkan sedikit hirisan daun ketumbar di atas sos untuk menaikkan aroma. Sos pencicah ini sangat sesuai untuk dicicah bersama daging korban panggang, daging bakar, ayam bakar atau makanan laut.
Ada pilihan sos pencicah yang lain?
Ada kawan-kawan! Mari Cik Min kongsikan soso cili yang mudah untuk didapati di pasaran dan cepat!
1.Sos Cili Jalen

Kalau anda nak cara yang lebih cepat dan tetap sedap, boleh guna Sos Cili Jalen sebagai asas sos pencicah. Tambah sedikit perahan limau nipis dan hirisan daun ketumbar pun dah cukup untuk naikkan rasa. Sesuai sangat untuk cicah daging korban panas-panas!
2. Ling Ham’s Sos Cili

Tak sempat nak tumbuk bahan satu-satu? Guna saja Ling Ham’s Sos Cili. Rasa pedas manisnya seimbang dan mudah diolah ikut selera. Campur sedikit air limau dan sos ikan. Siap dalam masa lima minit!
Sekian sahaja perkongsian Cik Min tentang Sos Pencicah Daging Korban | Boleh Cuba kali ini. Follow Makan lokal sekarang untuk mengupas tajuk yang menarik lagi bersama Cik Min!