Resipi Nasi Goreng Oatmeal Dijamin Enak dan Sihat!
Anda pernah dengar mengenai oat goreng atau nasi goreng oat? Pertama kali Cik Min mencuba sendiri resipi nasi goreng oatmeal ini disebabkan Cik Min baru nak berjinak-jinak dalam pengambilan makanan yang seimbang.
Oat bukan sahaja sesuai dimakan bersama buah-buahan, tetapi ia lebih sedap apabila dijadikan sebagai oat goreng. Namun, bukan semua jenis oat sesuai untuk resipi ini ya. Jika anda nak tahu berkenaan oat dengan lebih lanjut, boleh baca di sini.
Bahan-bahan | Resipi Nasi Goreng Oatmeal
Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi goreng oat ini sama sahaja seperti nasi goreng biasa. Cuma yang membezakannya ialah nasi digantikan dengan oat. Berikut merupakan bahan yang akan digunakan:
- 5 sudu makan rolled oat
- 1 ulas bawang merah (ditumbuk)
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
- 2 biji cili padi (hiris)
- Ikan bilis
- 1 biji telur
- Segenggam sayur-sayuran (lobak merah dan kubis)
- Secubit garam
- Secubit lada putih
- Sedikit minyak
- Sedikit air
Cara Penyediaan | Resipi Nasi Goreng Oatmeal
- Mula-mula sangai rolled oat sehingga keperangan di atas api yang perlahan. Tambahkan sedikit air sehingga kepingan rolled oat menjadi lembut dan ketepikan.
- Kemudian, panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tumis ikan bilis sehingga sedikit garing. Pecahkan telur dan hancurkannya.
- Masukkan bawang yang telah ditumbuk dan tumis sehingga naik bau.
- Seterusnya, masukkan cili padi dan sayur-sayuran. Tumis sehingga layu.
- Tambahkan secubit garam dan serbuk lada putih ke dalam masakan.
- Masukkan rolled oat yang telah disangai tadi ke dalam masakan. Kacau sehingga sebati.
- Tutupkan api dan siap untuk dihidangkan!
Tips Tambahan
- Sebaiknya lebihkan air ke dalam oat yang disangai agar oat masak dengan lembut dan mempunyai tekstur seperti nasi.
- Boleh gunakan apa-apa sayur kegemaran.
- Boleh tambahkan hiasan seperti timun dan sebagainya.
- Sangai oat dengan menggunakan api perlahan.
- Pastikan menggunakan api yang sederhana semasa memasak.
Mudah sahajakan resipi nasi goreng oatmeal ni? Bulan Ramadan pun akan tiba tidak lama lagi. Anda boleh cuba resipi ini untuk bersahur! Kenyang dan sihat!
Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Cik Min harapkan agar artikel kali ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Nak makan apa? Makan lokal-lah!