Resipi Macaron Sedap – Desert yang Comel!
Ada sesiapa suka makan macaron? Macaron antara desert yang paling comel yang boleh didapati dalam pelbagai warna yang lembut (pastel) dan berperisa. Kalau beli di kedai kek, macaron dijual dengan harga yang agak tinggi. Misalnya, 12 biji macaron berharga RM69. Jadi, untuk menjimatkan duit anda terutama di waktu pertengahan bulan, anda perlu cuba resipi macaron sedap ini.
Macaron merupakan desert masyarakat Perancis yang diperbuat dengan tepung badam, putih telur dan gula yang mempunyai rasa yang enak. Nak tahu apa bahan dan cara membuat macaron ini? Teruskan membaca perkongsian ini. Min dapatkan resipi ini daripada laman web Saji.my dan Buku Resepi.
Bahan-bahan Membuat Macaron | Resipi Macaron Sedap
Macaron dijual dengan harga yang agak mahal kerana bahan yang diperlukan untuk membuat macaron juga agak banyak dan mahal. Berikut merupakan bahan yang diperlukan:
Bahan Biskut:
- 240 gm gula aising (diayak)
- 165 gm gula kastor
- 240 gm tepung badam (diayak)
- 3 biji putih telur
- ½ sudu teh cream of tartar
- Sedikit pewarna kuning (bukan pewarna yang berasaskan air)
- Piping bag
- Parchment paper
Bahan Inti:
Bahan inti ini, Sis Min letakkan dua jenis inti, iaitu inti nutella dan cheese.
Inti Nutella:
- Nutella
- Piping bag
Resipi Macaron Sedap yang berinti Cheese:
- 200 gm cheese
- 2 sudu besar susu pekat
- ¾ cawan whipping cream
- ½ cawan gula aising
- Piping bag
Cara-cara Membuat Macaron | Resipi Macaron Sedap
Cara Membuat Biskut Macaron
- Mula-mula, sediakan dulang dan letakkan parchment paper atas dulang.
- Lukis bulatan di atas parchment paper dengan menggunakan duit syiling 20 sen. Jarakkan 3 cm antara bulatan dengan bulatan lain.
- Masukkan putih telur dalam satu bekas. Kemudian, pukul putih telur sehingga kembang dengan menggunakan mixer. Gunakan tahap kelajuan yang paling tinggi (maximum).
- Masukkan cream of tartar ke dalam bekas putih telur. Pukul lagi sehingga soft peaks.
- Masukkan gula kastor sedikit demi sedikit.
- Seterusnya, masukkan pewarna dalam adunan.
- Pukul lagi bahan-bahan tadi sehingga stiff peaks.
- Kemudian, masukkan tepung badam yang telah diayak ke dalam adunan tadi secara berperingkat, sedikit demi sedikit (3 batch).
- Gunakan spatula, adunkan tepung tadi sehingga adunan tersebut jatuh daripada spatula (seperti lava mengalir).
- Isikan adunan ke dalam piping bag yang bermuncung bulat.
- Paipkan adunan tadi mengikut bulatan yang dilukis di atas parchment paper.
- Biarkan adunan yang telah dibulatkan itu kering untuk tempoh 2 hingga 3 jam.
- Bakar dalam ketuhar pada suhu 150 darjah Celsius selama 12 hingga 14 minit.
- Biarkan biskut macaron tadi sejuk di atas dulang.
Cara Membuat Inti Macaron | Resipi Macaron Sedap
Sementara menunggu biskut macaron sejuk di atas dulang, mari kita buat inti cheese dulu. Inti nutella tak perlu buat, gunakan sahaja nutella yang terdapat di pasar raya tu.
- Masukkan semua bahan inti cheese ke dalam mixer sehingga sebati.
- Masukkan adunan ke dalam piping bag.
- Seterusnya, paipkan adunan inti cheese ke atas biskut macaron yang telah sejuk.
- Tutupkan biskut macaron yang telah diisikan inti cheese dengan biskut macaron yang lain (teknik seperti sandwich).
- Siap dihidangkan.
***Inti nutella perlu ikut langkah yang sama seperti inti cheese, bermula daripada nombor 2.
Tips:
- Boleh gunakan apa-apa pewarna untuk biskut macaron. Tetapi dalam resipi macaron sedap ini, Min gunakan pewarna kuning.
- Jangan gunakan kertas minyak kerana boleh menyebabkan biskut macaron pecah di bahagian tengah.
- Boleh keringkan biskut macaron yang baru dibakar di dalam bilik yang mempunyai penyaman udara.
- Pastikan bahan yang perlu diayak untuk membuat biskut macaron betul-betul halus.
- Segala peralatan yang digunakan untuk membuat macaron mestilah betul-betul kering.
Siap juga macaron yang comel! Memang tak mudah nak buat macaron yang sempurna. Tapi, jika praktis selalu, pasti menjadi macaron yang sedap! Jangan lupa kongsikan resipi ini kepada rakan dan ahli keluarga, ya. Min harapkan agar artikel ini dapat memberikan panduan kepada anda agar dapat membuat macaron yang enak.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Nak makan apa? Makan lokal-lah!