Resipi Kuih Bakar Kemboja yang Sedap
Ada sesiapa yang menggemari kuih bakar kemboja? Min suka sangat dengan kuih bakar kemboja ni. Kalau pergi pasar malam wajib beli! Tapi, semenjak pandemik ini, nak pergi keluar pun risau. Lebih baik buat sendiri kuih bakar kemboja di rumah. Jom, Min kongsikan resipi kuih bakar kemboja yang sedap dan lembut.
Kuih bakar kemboja ini merupakan kuih turun-temurun daripada nenek moyang kita. Kalau dulu, nenek moyang kita bakar kuih ni dengan menggunakan sabut dan arang. Kini, kuih bakar kemboja ini dibakar hanya menggunakan ketuhar sahaja. Sangat mudah!
Min dapatkan resipi ini daripada Facebook Wawa Kitchen Legacy. Resipi kuih ini telah dikongsi seramai 2.8 ribu pengguna Facebook. Mesti sedap resipi yang dikongsi ini. Mari kita lihat apa bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih bakar kemboja ini.
Bahan-bahan
Berikut merupakan bahan-bahan yang diperlukan mengikut resipi kuih bakar kemboja:
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan santan (kotak)
- 1 cawan air pandan
- 2 cawan gula (boleh kurangkan ikut cita rasa)
- 3 biji telur
- Sedikit biji bijan (ditabur)
- Minyak masak
- 1 titik pewarna hijau (pilihan)
- Acuan kemboja pecah 8 (saiz 1)
- Marjerin (untuk disapu)
Cara Penyediaan | Resipi Kuih Bakar Kemboja
Mari lihat cara penyediaan kuih bakar kemboja seperti berikut:
- Masak santan terlebih dahulu di dalam periuk dengan menggunakan api yang perlahan sehingga mendidih (pastikan tidak pecah minyak).
- Pandan perlu dikisar dengan air dan tapiskan airnya untuk dapatkan air pandan.
- Masukkan tepung gandum, santan, air pandan, gula, dan telur ke dalam pengisar. Kisar sehingga halus. Sekiranya tidak mahu gunakan blender, boleh gunakan mixer.
- Tuang adunan tadi ke dalam bekas dan masukkan pewarna hijau. Kacau sehingga sebati.
- Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius. Kemudian, panaskan acuan kemboja di dalam ketuhar selama 5 minit.
- Sapukan minyak masak ke atas acuan kemboja yang telah dipanaskan.
- Tuangkan adunan yang telah dikisar ke dalam acuan kemboja.
- Seterusnya, bakar adunan tadi di dalam ketuhar selama 40 minit.
- Pada 20 minit awal, keluarkan adunan tadi dan sapukan marjerin ke atasnya. Taburkan bijan ke atas adunan. Bakar lagi dalam masa 20 minit sehingga masak. Kuih ini boleh dibakar lebih lama lagi jika mahukan rasa yang garing.
- Siap dihidangkan. Boleh potong kepada 8 bahagian.
Tips:
- Adunan yang digunakan boleh dapat dalam 3 biji kuih bakar kemboja.
- Santan dimasak supaya kuih bakar kemboja tahan lebih lama.
- Boleh gunakan pewarna hijau jika air pandan tidak menjadikan adunan berwarna hijau pekat.
Siap juga resipi kuih bakar kemboja yang sedap dan enak ini. Sesuai dihidangkan sewaktu minum petang. Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Min harapkan agar artikel ini dapat membantu anda membuat kuih bakar kemboja yang enak.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!
Nak makan apa? Makan lokal-lah!