Resipi Ayam Pansoh Moden

May 22, 2023 by No Comments

Anda nak tahu resipi ayam pansoh moden? Sebelum tu, Cik Min nak tanya; pasti ramai yang sudah tahu tentang kepelbagaian kaum dan keindahan hutan hujan tropika di Bumi Kenyalang, Sarawak, kan?

Namun, selain daripada kepelbagaian kaum, keenakan makanan di negeri tersebut juga wajar diberi perhatian! Oleh itu, melalui entri kali ini, Cik Min akan kongsikan resipi Ayam Pansoh moden yang enak untuk anda semua.

Hidangan Tradisi Hari Gawai | Resipi Ayam Pansoh Moden

Resipi Ayam Pansoh Moden
photo credit: ikanmas.in

Disambut pada 1 Jun pada setiap tahun, Hari Gawai mula diiktiraf secara rasmi pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dikenali sebagai “Hari Sarawak” di bawah pemerintahan Rajah Brooke.  

Hari Gawai – atau Gawai Dayak – adalah perayaan kesyukuran ke atas hasil tuaian pada tahun tersebut yang memberangsangkan. Ia juga merupakan hari buat perancangan prospek masa depan.

Semasa Hari Gawai, terdapat beberapa hidangan tradisi yang wajib untuk dihidangkan buat tetamu yang datang ngabang (berkunjung dalam bahasa iban). Di antara hidangan tradisi tersebut adalah Ayam Pansoh.

Buat yang ingin tahu, Ayam Pansoh adalah ayam yang dimasak dengan daun pucuk ubi di dalam buluh. Secara tradisinya, daging ayam dan ramuan-ramuan tertentu akan dimasukkan ke dalam buluh, dan kemudian dibakar menggunakan kayu api.

Apakah Bahan-bahan yang Diperlukan? | Resipi Ayam Pansoh Moden

Bahan-bahan yang diperlukan juga amat mudah untuk didapati tau! Berikut ialah bahan-bahan yang diperlukan di dalam resipi ini:

  • 1. Ayam (telah dipotong dan dibersihkan)
  • 2. Bawang merah (10 biji)
  • 3. Bawang Putih (5 biji)
  • 4. Cili (3 biji)
  • 5. Halia (2 inci)
  • 6. Serai (3 batang)
  • 7. Bunga kantan (2 kuntum)
  • 8. Tepus (3 batang)
  • 9. Daun pucuk ubi (diramas)
  • 10. Asam Jawa
  • 11. Garam
  • 12. Ajinomoto/gula
  • 13. Air
Resipi Ayam Pansoh Moden
photo credit: Mai Sepinggan

Cara penyediaan

  • 1. Kisar kering bawang merah, bawang putih, cili, dan halia.
  • 2. Masukkan ayam yang telah dipotong dan dibersihkan, ke dalam periuk bersama bahan yang telah dikisar. Gaul rata.
  • 3. Masuk dan gaul rata asam jawa. Masukkan air mengikut cita rasa masing-masing.
  • 4. Masukkan bunga kantan, tepus dan serai dan masak di atas api sederhana sehingga masak.
  • 5. Masukkan garam dan ajinomoto secukup rasa.
  • 6. Sedia untuk makan bersama nasi panas-panas!

Nota: Resipi ini diulang siar daripada artikel Iluminasi. Resipi ayam pansuh ini dimasak di dalam periuk tau! Namun untuk rasa yang lebih sedap dan asli, ia perlulah dimasak di dalam buluh.

Ha, macam mana? Senang je nak masak Ayam Pansoh ni. Jadi, jom cuba resipi yang Cik Min kongsikan ni hari ini juga ya. Selamat mencuba!

Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.


Jangan lupa layari MakanLokal untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik.

Nak makan apa? Makan lokal-lah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *