Rahsia Tomyam Sedap seperti di Restoran Thai

December 28, 2021 by No Comments

Min yakin pasti ramai yang suka makan tomyam, kan? Kalau makan di restoran masakan Thai, pasti akan memesan tomyam. Rasa tomyam di restoran Thai sememangnya sedap. Jadi, Min nak kongsikan rahsia tomyam sedap supaya anda sendiri boleh buat sama seperti masakan di restoran Thai.

Min selalu juga masak tomyam. Tapi, tak sesedap di restoran Thai. Jadi, Min cari apa rahsia untuk masak tomyam yang sedap sama seperti restoran Thai. Akhirnya, Min jumpa juga rahsia mereka. Min dapatkan segala resipi tomyam ini di laman web Keluarga.

Rahsia Tomyam Sedap

Bahan-bahan

Berikut merupakan bahan-bahan yang penting dalam membuat kuah tomyam yang pekat, sedap, dan pedas. Kebiasaannya, tomyam yang dihidangkan oleh restoran Thai memang pekat dan pedas. Jadi, mari lihat apa bahan yang menjadi rahsia tomyam sedap seperti di restoran Thai.

  • Bawang besar (dipotong 4)
  • 10 cili api hijau (diketuk)
  • 5 cili api merah (diketuk)
  • 3 batang serai (diketuk)
  • 2 sudu besar cili kisar
  • Akar dan daun ketumbar
  • 3 helai daun limau purut
  • Air/pes asam jawa
  • Pes tomyam
  • Lobak merah
  • Cauliflower
  • Baby corn
  • Tomato (dipotong 4)
  • Batang saderi (pilihan)
  • Cendawan enoki/tiram
  • Ayam/daging/udang/sotong (boleh campur atau salah satu)
  • Sedikit susu cair
  • Sedikit minyak (tumis)
  • 600 ml air
  • Sedikit garam

Cara Penyediaan | Rahsia Tomyam Sedap

Banyak juga bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat tomyam ala-ala Thai ni. Tapi, cara memasaknya tak susah pun. Jom lihat cara memasak.

  1. Mula-mula, panaskan sedikit minyak di dalam periuk. Tumiskan pes tomyam dan biarkan ia sedikit garing. Kemudian, masukkan cili kisar dan serai. Tumis sehingga naik bau.
  2. Masukkan bawang besar, cili api, dan air ke dalam periuk. Biarkan ia mendidih.
  3. Kemudian, masukkan ayam sehingga empuk sedikit.
  4. Masukkan daun limau purut, lobak merah, akar daun ketumbar, dan pes asam jawa.
  5. Seterusnya, masukkan baby corn, cauliflower, batang saderi, cendawan enoki dan cendawan tiram sehingga mendidih.
  6. Masukkan sedikit susu cair dan kacau sekejap.
  7. Kemudian, tambahkan sedikit garam.
  8. Seterusnya, masukkan tomato dan daun ketumbar.
  9. Tutup api. Siap dihidangkan!
Rahsia Tomyam Sedap

Tips:

Ada beberapa tips untuk mendapatkan kuah tomyam yang sedap ala-ala Thai ini.

  • Gunakan pes tomyam jenama Madam Pum (salah satu rahsia tomyam sedap). Boleh masukkan lebih banyak pes untuk menjadikan kuah lebih sedap.
  • Sebaiknya, tumis terlebih dahulu pes tomyam walaupun pes tersebut sudah ada minyak.
  • Gunakan susu cair untuk menambahkan rasa lemak kuah tomyam.
  • Jika gunakan daging, masukkan lebih awal supaya daging lembut. Jika gunakan ayam, ikut sahaja cara Min di atas. Kalau mahu gunakan sotong atau udang, perlu masukkan selepas sayur. Hal ini kerana, udang dan sotong cepat masak.
  • Tomato perlu dimasukkan lambat sebab cepat lembik.
  • Lebih baik gunakan pes asam jawa berbanding air limau nipis. Hal ini kerana, rasa pes asam jawa lebih enak berbanding air limau nipis.
  • Akar ketumbar dimasukkan dalam tomyam supaya kuah tomyam mempunyai rasa yang enak. Tambahan pula, aroma akar daun ketumbar lebih kuat berbanding daun ketumbar.

Cukup itu sahaja perkongsian rahsia tomyam sedap pada kali ini. Min harapkan agar artikel ini dapat membantu anda untuk memasak tomyam yang sedap seperti di restoran Thai. Selamat mencuba!

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Jom layari MakanLokal.com untuk mendapatkan lebih banyak artikel yang menarik!

Nak makan apa? Makan lokal-lah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *